Saturday, October 13, 2012

Lalok ketika solat Jumaat

KUALA TERENGGANU - Ketika orang lain sibuk menunaikan solat Jumaat, sekumpulan ‘kaki lalok’ pula menghabiskan waktu menghisap dadah di kawasan semak, berhampiran sebuah kediaman mewah yang masih dalam pembinaan di Kampung Alor Jambu, Batu Rakit di sini, semalam.

Bagaimanapun, keasyikan mereka hanya sementara apabila port mereka diserbu sepasukan polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Gong Badak dan Batu Rakit.

Dalam operasi itu, seramai 30 lelaki berusia antara 24 hingga 46 tahun termasuk seorang lelaki kelainan upaya ditahan kira-kira jam 1.30 tengah hari, ketika mereka sedang ‘lalok’.

penagih dadah
gambar hiasan
Operasi itu yang dijalankan oleh polis yang berpakaian preman, bermula kira-kira jam 10 pagi dan berakhir 4 petang, hasil intipan dan maklumat orang awam mengenai aktiviti kumpulan berkenaan yang dipercayai menjadikan kawasan itu sebagai port mengedar dan menghisap dadah sejak sebulan lalu.

Menurut sumber, seorang lelaki yang berusia 36 tahun, cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis. Bagaimanapun, usahanya tidak berjaya selepas dia terjatuh ke dalam semak.

Difahamkan, lelaki berkenaan yang mengalami kecacatan pada bahagian kaki dan bekerja sebagai mekanik, pernah ditahan sebelum ini kerana jenayah dadah.

Kesemua yang ditahan, dibawa ke Balai Polis Gong Badak untuk saringan awal ujian air kencing dan polis turut merampas tujuh biji pil, dipercayai dadah jenis Methamphetamine. Sebanyak 24 buah motosikal milik penagih tersebut turut dibawa ke Balai Polis Gong Badak untuk tindakan lanjut, sebelum dibawa ke Balai Polis Kuala Terengganu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi, mengesahkan tentang serbuan dan tangkapan berkenaan.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...