Saturday, October 13, 2012

Bapa 53 tahun rogol anak OKU

gadis OKU kena rogol

IPOH – Nafsu binatang! Gelaran tepat bagi seorang lelaki yang tergamak merogol anak sendiri berusia 18 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU).

Ketua Polis Daerah Ipoh, Azisman Alias berkata, kejadian sumbang mahram itu disedari kakak mangsa yang membuat laporan polis kelmarin.

Menurutnya, berdasarkan siasatan, mangsa yang mempunyai masalah mental tinggal bersama-sama keluarganya termasuk suspek di sini.

“Mangsa merupakan anak ketiga daripada lima adik-beradik dan masih bersekolah di sebuah sekolah pendidikan khas di daerah Ipoh.

“Semalam (kelmarin), mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan media yang difakskan kepada Sinar Harian, semalam.

Bagaimanapun, suspek yang berusia 53 tahun itu ditahan pada jam 1.40 pagi, semalam, di rumahnya dan direman tujuh hari  untuk siasatan.

Dalam perkembangan lain, Azisman berkata, pihaknya juga sedang mengesan suspek yang merempuh kereta polis di kawasan perumahan di Lebuh Bercham Selatan di sini, kelmarin.

Katanya, tindakan agresif itu menyebabkan salah seorang anggotanya melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kereta suspek.

“Kejadian jam 12.30 tengah malam itu, anggota bertugas melakukan rondaan ternampak sebuah kereta Hyundai warna kuning dengan nombor pendaftaran WLX 659 dalam keadaan mencurigakan.

“Walaupun disekat di kawasan kejadian, suspek bertindak nekad membuat pusingan U lalu melanggar kereta yang dinaik anggota polis,” katanya.

Suspek yang dipercayai terlibat dalam kes dadah berjaya meloloskan diri setelah merempuh dan menghimpit kereta polis.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...