Saturday, October 13, 2012

Tiga remaja ditahan bersama parang, pisau dan buku lima

KUALA TERENGGANU - Tiga remaja ditahan bersama sebilah parang, pisau dan senjata buku lima di persimpangan Batu Bersurat di Kuala Berang, Hulu Terengganu semalam.
   
Mereka yang berusia antara 18 hingga 20 tahun itu ditahan kira-kira 4.20 pagi oleh anggota polis yang sedang meronda, di dalam sebuah Proton Wira kerana didapati berada dalam keadaan mencurigakan.
   
"Curiga dengan tindak-tanduk mereka, polis terus menahan mereka dan meggeledah kereta berkenaan sebelum menemui beberapa peralatan tajam," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan.

senjata bahaya, buku lima
gambar hiasan
Beliau berkata polis juga menemui 10 buah telefon bimbit pelbagai jenama serta duit syiling bernilai RM141 di dalam sebuah beg plastik.
   
Kesemua suspek yang berasal dari Dungun itu dibawa ke Balai Polis Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut termasuk sama ada mereka terbabit dalam kegiatan jenayah.
   
"Kita percaya mereka terlibat dalam beberapa kes jenayah dan hasil siasatan ke atas nombor casis kenderaan juga mendapati kenderaan yang digunakan itu adalah kenderaan curi," katanya.
   
Kesemua suspek kini ditahan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 6 dan 7 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357) yang boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. 

sumber- Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...