Anggota bomba bertungkus lumus memadam kebakaran di gudang minyak pelincir di Jalan Chain Ferry, Butterworth, petang semalam. |
BUTTERWORTH - Sebuah gudang menyimpan minyak pelincir di Lengkok Kapal, Jalan Chain Ferry di sini, musnah terbakar, petang semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Azmi Tamat berkata, kebakaran di gudang milik Syarikat Malim Tractors Sdn Bhd itu dipercayai berlaku sekitar jam 4.34 petang.
Katanya, ketika kebakaran terdapat beberapa pekerja yang sedang bertugas, namun mereka sempat lari menyelamatkan diri dan tidak mengalami kecederaan.
“Pihak kita menerima panggilan mengenai kejadian itu dan bergegas ke lokasi kebakaran dengan kekuatan tujuh jentera bomba dan dibantu empat pasukan bomba sukarela melibatkan 47 anggota kesemuanya.
“Api marak ketika pihak bomba sampai, namun selepas hampir dua jam bertungkus lumus memadam kebakaran, api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 6 petang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Azmi berkata, tempoh masa diambil untuk mengawal api agak panjang berikutan pihaknya mengalami kesukaran kerana selain bangunan kilang, minyak pelincir yang terdapat di situ menyukarkan kerja pemadaman api.
“Kita terpaksa menggunakan pancutan buih bagi mengawal api dan dalam masa sama terpaksa berhati-hati kerana berlaku dua letupan.
“Bagaimanapun tiada kecederaan dialami anggota kita dan jumlah kerugian dianggarkan melebihi sejuta ringgit,” katanya.
Menurutnya, punca kebakaran masih disiasat dan tidak menolak kemungkinan ia berpunca dari litar pintas.
Kebakaran itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas apabila orang ramai turut memberhentikan kenderaan mereka untuk melihat kejadian itu.
sumber- Sinar
0 comments:
Post a Comment