Thursday, September 13, 2012

Tiga sahabat terlepas tali gantung

Tiga sahabat terlepas tali gantung
Md Faizeri bersama ahli keluarganya. Gambar kecil(kanan) Mohamad Nazari dan Syed Rosli(kiri) kelihatan tenang keluar dari mahkamah.
ALOR SETAR - Tiga sahabat dibebas dan dilepaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam, daripada tuduhan membunuh seorang pembantu tempat letak kereta dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie yang boleh mensabitkan mereka dengan pertuduhan berkenaan.

Mohamad Nazari Jalil, 44, Md Faizeri Abdullah, 27, dan Syed Rosli Syed Md Darus, 35, sebelum ini dituduh bersama-sama membunuh S Kinseng Subramaniam, 35, di hadapan sebuah klinik kulit, Jalan Tunku Abdul Rahman Putra, Kota Setar, Kedah.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang pada 7 Disember 2010. Dakwaan terhadap mereka adalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan dengan kesalahan.

Dalam penghakimannya, Mohd Zaki berkata, keterangan pihak saksi pendakwaan iaitu SP4 dan SP7 gagal membuktikan identiti sebenar mangsa.

“SP4 mengatakan mangsa merupakan anak saudara kepadanya namun tidak mengetahui apa-apa mengenai keluarga mangsa. Manakala SP7 hanya mengetahui hubungan SP4 dengan mangsa sebagai saudara melalui seseorang yang bernama Wira.

“Bagaimanapun Wira tidak dipanggil. Sepatutnya Wira adalah saksi terbaik untuk membuat pengesahan identiti mangsa,” katanya.

Menurutnya, pihak pendakwaan tidak mengemukakan keterangan secara menyeluruh berhubung kejadian sebenar pada tarikh berkenaan serta tidak dapat mengenal pasti bagaimana kejadian berlaku dan siapa terlibat.

“Pihak pendakwaan juga tidak dapat memberi keterangan secara jelas sebab kematian mangsa sama ada disebabkan perbuatan langsung tertuduh atau sebaliknya. Mangsa meninggal ketika masih dalam rawatan.

“Dalam kes ini mangsa berkemungkinan meninggal disebabkan menerima rawatan yang salah, ia (kemungkinan) tidak boleh ditolak,” katanya.

Difahamkan mangsa meninggal pada 20 Disember 2010 selepas 13 hari dari tarikh kejadian sewaktu menerima rawatan di hospital.

Sementara itu, Nazari yang memakai kemeja T merah, Syed Rosli baju ungu dan Md Faizeri baju putih tenang mendengar keputusan yang dibacakan.

Dalam pada itu, ahli keluarga Md Faizeri gembira dengan keputusan berkenaan dan saling berpelukan sebaik sahaja dibenarkan keluar dari mahkamah.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...