SETELAH mengikat tali pertunangan secara tertutup 2 September lalu, Farid Kamil, 31, mengumumkan akan bernikah dengan aktres kacukan, Diana Danielle, 21, pada 3 November ini.
Farid turut mengejutkan tetamu yang hadir pada sesi pratonton filem arahan dan lakonan terbarunya, Petiga, di TGV Sunway Piramid, Bandar Sunway, dengan pengumumannya itu.
“Setelah mendapat restu kedua ibu bapa saya, saya mengumumkan bahawa saya dan Diana akan melangsungkan perkahwinan kami pada 3 November ini.
"Saya berharap dengan pengumuman ini, ramai pihak akan mendoakan yang terbaik buat kami,” katanya ringkas.
Farid Kamil - Diana Danielle |
Bagaimanapun, Farid yang ditemui selepas itu berkata, mereka sepakat untuk memilih bulan November kerana ia merupakan bulan kelahiran Diana dan perancangan mengenai tarikh perkahwinan juga sudah di buat sebelum bertunang lagi.
Katanya, mereka akan bernikah di Hotel Flamingo pada sebelah pagi manakala resepsi akan diadakan 21 November iaitu sehari sebelum hari ulang tahun kelahiran Diana dan resepsi di sebelah pihaknya pula akan diadakan pada bulan Disember.
“Buat masa ini persiapan sedang giat dilakukan dan kami memang sudah berbincang mengenai hal perkahwinan ini sejak awal lagi. Lokasi, konsep perkahwinan telah dipilih oleh Diana dan rasanya dia lebih sesuai menjawab mengenai persiapan.
“Kami juga ada merancang untuk mereka dan menempah baju pernikahan kami memandangkan ia hari paling bersejarah dalam hidup kami. Namun, mengenai hantaran, dan lain-lain akan saya umumkan kelak,” jelasnya.
Farid juga mengakui berdebar-debar menanti majlis pernikahan mereka dan berharap segalanya akan berjalan dengan lancar dan baik.
“Semenjak bertunang lagi, saya memang berdebar-debar menanti hari bersejarah ini. Saya harap segalanya berjalan dengan baik dan semua pihak mendoakan yang terbaik untuk kami,” ujarnya.
Menyentuh mengenai pengumuman tarikh perkahwinannya yang dibuat mengejut tanpa sidang media yang lebih tersusun, Farid berkata, dia merasakan sesi tayangan filemnya itu adalah masa yang sesuai untuk membuat pengumuman memandangkan kebanyakan media hadir ketika itu.
“Buat peminat, saya harap mereka tidak terkejut dengan pengumuman ini. Memang saya berniat untuk umumkan hari ini (semalam) kerana semua media ada dan saya mahu bertindak adil pada semua,” jelasnya.
sumber- Sinar
semoga berbahagia hendaknya selepas ini`
ReplyDelete