Tuesday, October 16, 2012

Dongeng: Anak Itik Yang Hodoh

Anak Itik Yang Hodoh

Seekor itik betina sedang mengeramkan telurnya. Ada empat biji telur kesemuanya. Setelah beberapa lama, telur-telur itu pecah. Telur pertama, kedua dan ketiga menetaskan anak-anak itik berbulu kuning yang comel. Tinggal sebiji telur sahaja lagi yang belum menetas. Telur itu bersaiz agak besar. Akhirnya telur itu pun pecah. Ia menetaskan seekor anak itik yang besar dan berbulu kelabu. "Oh tidak! Kamu tidak sama dengan anak-anakku yang lain. Kamu sungguh besar dan hodoh!"Keluh ibu itik.

Pada hari berikutnya, ibu itik membawa anak-anaknya pulang ke reban. Itik-itik lain di reban itu ketawa apabila melihat anak itik yang berbulu kelabu dan hodoh itu. Mereka mematuk dan mengejarnya. Anak itik yang hodoh berasa amat sedih. Keesokan paginya, anak itik yang hodoh pun berjalan keluar meninggalkan reban. Ketika itu penghuni lain masih lagi tidur. Anak itik yang hodoh membawa dirinya tanpa arah tujuan. 

Akhirnya dia sampai ke sebuah kawasan semak. Anak itik yang hodoh duduk bersendirian di dalam semak tersebut. Dia berasa agak selamat namun, itu semua tidak lama. Menjelang petang, beberapa ekor itik liar tiba disitu."Kuek, kuek, kuek, pergi dari sini! Kamu sungguh hodoh!" kata mereka. Itik-itik liar itu mengetawakannya anak itik yang hodoh itu . Akhirnya anak itik yang hodoh terpaksa berlalu dari situ. 

Hari semakin lewat dan cuaca menjadi semakin sejuk. Dia terus berjalan sehinggalah bertemu sebuah pondok. Seorang perempuan tua yang tinggal di situ membenarkan dia masuk. Di dalam pondok itu ada seekor ayam betina dan seekor kucing. "Bolehkan kamu bertelur?" Tanya ayam betina"Tidak." Jawab anak itik yang hodoh. "Kalau begitu, kamu kena pergi dari sini!" kata ayam betina dan kucing. Sekali lagi, anak itik yang hodoh terpaksa membawa diri. Ke mana sahaja dia pergi, burung-burung dan binatang lain akan berkata, "Betapa buruk dan hodohnya kamu!"

Apabila musim sejuk tiba, seluruh kawasan mula dilitupi salji. Anak itik yang hodoh tidak tahu kemana hendak berlindung. Dia berasa amat sedih mengenangkan nasib dirinya. Dia memandang ke langit dan ternampak sekawan burung yang berbulu putih dan berleher panjangs edang terbang ke sana ke mari. "Alangkah seronoknya kalau aku dapat jadi seperti mereka," katanya sendirian. 

Akibat terlalu lapar dan letih akhirnya dia tertidur di atas salji itu. Keesokan paginya,seorang petani yang baik hati menemuinya lalu membawanya pulang. Isteri petani itu memanaskan tubuhnya dan memberinya makan. Anak itik yang hodoh menyangka akhirnya dia akan selamat di situ. Tengah hari itu, anak lelaki petani telah telah ternampak dirinya. Dia membawa anak itik yang hodoh itu bermain-main di dalam air. Namun, caranya yang kasar itu membuatkan anak itik yang hodoh berasa sungguh takut. 

Sebaik berkesempatan, anak itik yang hodoh pun melarikan diri. Akhirnya, dia tiba di sebuah kolam. Dia berasa selamat berlindung di situ. Dia pun tinggal di situ buat beberapa lama. Pada suatu hari, apabila dia mengibaskan kedua-dua kepaknya, dia berasa sungguh terkejut. Dia mendapati kepaknya begitu kuat dan bulu tubuhnya sudah bertukar putih. Dia berasa terkejut apabila mendapati dirinya boleh terbang. Dia berpusing-pusing di udara sebelum turun semula ke kolam . 

Dia ternampak bayangannya di permukaan air lalu berkata, "Wah, alangkah cantiknya. Bagaimana boleh terjadi begitu!" Kemudian, dia ternampak sekawan burung bewarna putih dan berleher panjang sedang berenang di kolam. Mereka sungguh cantik katanya di dalam hati. Burung-burung itu memandang ke arahnya dan berkata, "Kamu seekor angsa yang tampan. Marilah bermain bersama kami." "Saya? Saya seekor angsa?" tanyanya kehairanan. "Ya, cuba lihat bayangmu di dalam air. Betapa cantiknya bulumu yang putih dan lehermu yang  panjang itu!" Buat pertama kali dalam hidupnya, anak itik yang hodoh berasa cukup gembira. "Aku adalah seekor angsa! Aku benar-benar seekor angsa!" teriaknya riang. Kini dia tidak lagi dipanggil anak itik yang hodoh. Dia juga tidak akan bersendirian lagi.

sumber- scribd

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...