Wednesday, October 10, 2012

Taman tema Paramount Pictures

Paramount Pictures vacancies

NEW YORK - Syarikat perfileman Hollywood, Paramount Pictures merancang membina taman tema di Britain, dianggarkan bernilai 2 bilion pound (RM9.7 bilion) untuk bersaing dengan taman tema Disneyland di Paris.

Perancangan itu akan membuka peluang pekerjaan kepada 27,000 orang dan mengubah landskap tanah tandus di Semenanjung Swancombe di Kent.

Taman hiburan bertaraf dunia itu akan menyediakan permainan taman tema air terbesar di Eropah, teater, persembahan muzik, panggung wayang, restoran, ruang majlis dan hotel.

Malah jika diluluskan kerajaan Britain, taman tema itu akan mempunyai keluasan dua kali ganda berbanding Taman Olimpik di London Timur.

Lokasi pembangunan tersebut terletak berdekatan stesen kereta api Antarabangsa Ebbsfleet yang hanya memerlukan masa selama 17 minit perjalanan dari London dan dua jam dari Paris.

Ketua projek syarikat pembangunan London Resort Company Holdings (LRCH), Tony Sefton berkata, pembinaan taman tema itu merupakan yang terbesar di Britain selepas projek Olimpik dan akan mengambil masa selama enam tahun untuk siapkan.

"Objektif kami adalah untuk membina destinasi hiburan bertaraf dunia dan yang pertama di United Kingdom.

"Kami berada di permulaan perjalanan yang panjang, namun kami menerima sokongan untuk meneruskan projek ini," katanya.

Menurut Sefton, syarikatnya menerima sambutan baik daripada pelabur yang berminat untuk melabur dalam projek berkenaan.

LRCH telah menandatangani satu perjanjian dengan bahagian pelesenan Paramount Licensing Inc. untuk mendapatkan lesen khas yang diberikan kepada syarikat Paramount Pictures bagi membina sebuah pusat peranginan di tengah-tengah taman tema terbabit. 

sumber- AGENSI

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...